Tuesday, July 24, 2007

Raih Manfaat Melalui Program Lawatan ke China

Menurut laporan akhbar Bahasa Cina Lianhe Zaobao pada tanggal 19 Jun, 2007, hampir sepertiga sekolah-sekolah Singapura telah mula bekerjasama dengan sekolah-sekolah di China. Ini merupakan satu perkembangan yang sihat. Semakin banyak sekolah yang mampu memahami peri pentingnya mengenal negara China demi mempereratkan lagi pertalian dengan negara yang sememangnya mempunyai potensi ekonomi dan kewangan yang besar.

Semasa cuti sekolah bulan Jun yang lalu, Jabatan Bahasa Ibunda Sekolah Rendah St. Hilda’s (SHPS) dengan sokongan pengetua sekolah, Puan Kew Mee Ying telah menjayakan sebuah program penyerapan budaya ke Beijing, China. Lawatan selama 8 hari bermula dari 25 Mei hingga 1 Jun 2007. Program ini sudah bertahun-tahun dijalankan tetapi inilah julung-julung kalinya pelajar-pelajar yang tidak mengambil Bahasa Mandarin sebagai bahasa ibunda diundang bersama untuk menyertai program tersebut.

Program ini telah diselaraskan semula untuk memenuhi matlamat SHPS agar dapat menawarkan pendidikan yang global dalam suasana berbilang-budaya yang dinamik. Melalui pengalaman sebenar, SHPS cuba menyemai peribadi pelajar-pelajar yang berkebolehan dan mampu berdikari. Program ini juga secara tidak langsung menyahut cabaran Menteri Pendidikan, Encik Tharman Shanmugaratnam agar pelajar-pelajar Singapura yang berbilang kaum digalakkan mengenal China yang kontemporari melalui program pendidikan kolaboratif di antara sekolah-sekolah kedua-dua negara.

Bahasa bukanlah satu penghalang bagi saya dan 4 orang pelajar yang terdiri daripada 2 orang pelajar Tamil dan dua orang pelajar Melayu. Saya harus akui bahawa komunikasi lisan dengan tenaga pengajar dan pelajar Sekolah Rendah Kolej Guru Chaoyang agak mencabar. Namun demikian, masalah tersebut dapat dihuraikan dengan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin yang dicampur-aduk. Yang jelas juga, keadaan tersebut tidak menjadi satu hambatan bagi mereka untuk mengajukan soalan bertubi-tubi tentang budaya kaum-kaum minoriti di Singapura seperti Melayu, India dan Serani.

Dalam satu sesi interaksi bersama pelajar-pelajar China, saya diberikan masa untuk menerangkan bagaimana Singapura berjaya menjadi sebuah negara yang aman dan cemerlang dengan mempraktikkan sistem meritokrasi yang menjanjikan peluang sama-rata dalam pekerjaan, pendidikan serta kebajikan untuk semua rakyat Singapura tanpa mengira bangsa dan agama. Antara soalan-soalan lain yang diajukan kepada saya adalah mengenai usaha pemerintah untuk mengekalkan keharmonian kaum di Singapura. Soalan itu tidak dijawab oleh saya tetapi mampu dijawab oleh seorang pelajar darjah 6, Muhammad Faiz Bin Basir. Faiz berjaya menjawab ringkas dengan menyatakan bahawa keharmonian kaum diberikan penekanan di dalam semua aktiviti sekolah, di dalam dan di luar darjah selain daripada Pendidikan Nasional (NE).

Melalui blognya, Faiz menekankan bahawa program melawat China bukanlah satu aktiviti melancong semata-mata untuk bersuka-ria tetapi merupakan satu peluang bagi dirinya untuk mengenal dan mengapresiasi cara hidup dan sejarah tamadun orang-orang China. Ini terbukti dengan pengumpulan butiran-butiran fakta sebelum dan semasa lawatan ke tempat-tempat bersejarah seperti Tembok Besar China, Istana Musim Panas dan Kota Larangan.

Salah seorang lagi peserta program itu, Nurush Shaqina, 11 tahun beranggapan bahawa program tersebut membuka ruang kepadanya untuk berkongsi budaya orang-orang Melayu dan bertukar-tukar pendapat dengan pelajar-pelajar sekolah yang dilawatinya. Dia juga berjaya menjalinkan persahabatan dengan 2 orang pelajar China yang telah ditugaskan sebagai buddy kepadanya selama tempoh 5 hari. Sekembalinya di Singapura, Nurush mahu meneruskan minatnya dalam kaligrafi Cina setelah mendapat pendedahan melukis di Beijing.

Banyak lagi manfaat yang boleh diraih para pelajar melalui program-program penyerapan budaya seperti yang dijalankan oleh SHPS. Saya yakin banyak lagi sekolah-sekolah yang sedia membuka ruang untuk pelajar-pelajar yang tidak mengambil Bahasa Mandarin untuk sama-sama mengikuti program lawatan ke China.

Saya berharap lebih ramai ibu bapa akan menggalakkan anak-anak mereka untuk menyertai program-program penyerapan budaya ke mana-mana negara sekalipun pada masa hadapan untuk meluaskan lagi minda anak-anak Melayu kita. Bak kata pepatah, ‘Jauh perjalanan, luas pemandangan’. Selagi ada peluang yang diberikan, janganlah pula kita sia-siakannya.

Elmi Zulkarnain
Penyelaras Jabatan Bahasa Melayu
Sekolah Rendah St. Hilda’s (SHPS)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home