Sunday, June 01, 2008

Sesat Di Hutan


Sesat Di Hutan


Sebuah karya Fatin Liyana, Firdauz Azhar dan Aniq Naqib

Hutan itu diselimuti misteri. Pelbagai cerita yang didengar mereka. Pelbagai andaian. Aniq, Fatin dan Firdauz bertekad untuk menyelongkar misteri hutan itu. Persiapan telah disediakan dengan teliti. Makanan, minuman, peta dan alat-alat lain yang diperlukan diangkut bersama. Mereka bertolak selepas mentari mula menerbitkan diri.

Mereka mula berjalan. Hutan itu semakin lama semakin tebal rasanya. Pokok-pokok besar tegak dan gagah berdiri, memayungi mereka bertiga dari terik mentari pagi. Setelah lama berjalan, penat mula mencengkam mereka. Mereka berehat di sebuah tempat redup dan nyaman. Aniq terlelap didodoi irama dan nyanyian camar yang berterbangan.

Tanpa disedari Fatin dan Firdauz, mereka berdua telah menyambung perjalanan mereka tanpa Aniq. Tidak teringat langsung mereka terhadap Aniq.

Aniq terbangun. Alangkah terperanjatnya dia apabila dia sedar yang kawan-kawannya telah meninggalkannya sendirian.

“Apa ni .. ? Mereka buta ke? Berkhayal ke? Ada patut mereka tinggalkan aku sebegini? Di hutan setebal ini?” Aniq mula berasa amarah dan kesal menggigit perasaannya.

Aniq mula mencari dan menjejak kawan-kawannya. Sedang dia berjalan, dia tersungkur. Cermin matanya terjatuh. Retak sedikit. Mukanya tersembam ke tanah.

“Buah kurmaak ... !” Aniq pengsan.

Nenek kebayan terjumpa Aniq. Dia membawa Aniq ke pondoknya untuk dirawat. Nenek kebayan itu mempunyai kuasa yang luar biasa. Dalam beberapa saat sahaja, Aniq sudahpun berada di pondoknya.

Aniq diberi rawatan bagi luka-lukanya dan diberi makanan serta minuman.

Nenek kebayan itu tidak berwajah hodoh. Ada juga iras wajah Siti Tanjung Perak. Dia melayan Aniq dengan baik sekali.

“Ini nenek berikan peta untuk anak keluar dari hutan ini. Janganlah datang lagi. Tempat ini tidak sesuai untuk manusia. Lebih-lebih anak muda seperti kamu,” kata nenek kebayan itu dengan suara terketar-ketar tetapi jelas didengar.

Sementara itu, Fatin dan Firdauz mula sedar akan kehilangan Aniq. Mereka kesal dengan kecuaian mereka. Bagaimana mereka boleh terlupa akan Aniq merupakan satu misteri. Mereka mula berpatah balik, menjejak setaip langkah yang diambil. Setelah sejam, mereka terjumpa cermin mata kepunyaan Aniq.

“Pasti Aniq berada dekat dengan kawasan ini,” kata Firdauz bersuara sedih.

Tiba-tiba, Aniq muncul di hadapan mereka. Fatin dan Firdauz terperanjat tetapi terlalu gembira untuk memikirkan apa-apa.

“Aku selamat. Mengapalah zalim sangat kamu berdua tinggalkan diri ini keseorangan?” tanya Aniq.

Fatin dan Firdauz membisu tiada terkata.

Aniq cuba menunjukkan pondok nenek kebayan yang baik hati itu kepada mereka berdua tetapi pondok itu sudah lenyap dari pandangan mata kasar mereka.

Dengan peta yang berada di tangan, Aniq menunjukkan mereka berdua jalan keluar dari hutan itu. Cukuplah pengalaman mereka di hutan buat masa ini. Tanda tanya bertambah. Misteri terus menjadi misteri. Setelah lama berjalan, akhirnya mereka tiba di suatu persimpangan jalan.

Mentari mula membenamkan diri, tanda penamat hari. “Syukur,” kata mereka bertiga menghela nafas lega.

Disemak oleh Cikgu Elmi Zulkarnain
Lungsuri Youtube untuk mendapatkan klip komik digital yang dihasilkan oleh mereka!
Tag: Sesat di Hutan