Friday, May 08, 2009

Karangan - Beruang!


- Oleh Nurhan Sufi
6/11 (GEP)

Malam itu merupakan malam Jumaat. Gelap menyelimuti kawasan kampung itu. Sang Rembulan tidak sudi mengambang. Gemintang di langit tiada berkedipan. Setelah sampai di persimpangan jalan, aku dan Aliff sedar yang kami jauh tersesat.

Aliff menoleh ke kanan dan ke kiri sambil menggaru kepalanya. “Haikal, di manakah kami berada sekarang?” soalnya, dengan perasaan berserabut. Aku tidak dapat menjawab soalannya. Aku pun berasa terkeliru. Sebenarnya, kami telah datang ke kawasan hutan ini kerana sekolah telah mengadakan perkhemahan. Kami telah diberi arahan untuk mendapatkan kayu untuk dibakar tetapi telah berjalan ke arah yang salah dan tersesat.

Kami cuba mencari tempat perkhemahan tersebut tetapi usaha kami tidak berbaloi. Suasana di hutan itu amat menakutkan. Beraneka haiwan yang merayau. Bayang-bayang dari pokok-pokok hutan sungguh menggerunkan. Tiba-tiba aku terlihat sesuatu lembaga. Aku menjerit ketakutan. Aku mengeluh kelegaan apabila aku menyedari bahawa ia hanya bayangan pokok di sekelilingku.

Aliff dan aku berjalan selama sejam mengikuti jam Casio biruku. Kami cuba berjalan dengan berwaspada tetapi Aliff tersandung di sebatang akar lalu terjatuh. Mukanya berselaput dengan lumpur mengakibatkan aku ketawa berdekah-dekah.

Tanpa amaran, gumpalan awan gelap berarak di langit. Hujan turun dengan selebat-lebatnya, menyebabkan kami menjadi basah kuyup. Pakaianku seperti pakaian yang baru dikeluarkan dari alat pencuci baju yang belum dikeringkan. Kilat memancar sabung-menyabung di langit yang gelap-gelita. Guruh mengikuti, berdentam-dentum. Angin yang perlahan menjadi ribut dan meniup dengan kencang seperti ribut taufan yang sedang melanda alam keliling.

“Aliff, di manakan kita akan berteduh?” tanya ku. “Di sana!” jerit Aliff sambil menudingkan jari hantunya ke arah sebuah gua yang berhampiran. Aku berlari dengan pantas ke arah pintu masuk gua itu seperti seekor singa lapar yang sedang mengejar mangsanya. Aku menghela nafas lega apabila berada di dalam gua itu tetapi agak gementar apabila sedar bahawa gua itu amat gelap serta luas. Kami hampir menjerit apabila sekumpulan kelawar terbang keluar dari suatu penjuru gua itu.

Aku cuba mengeringkan stokin dan kasutku sementara Aliff duduk termenung. Cuaca di luar semakin buruk. Angin bertiup kencang membuat daun-daun kering yang bergugur berterbangan ke udara. Kami kekalutan dalam masalah. Kami tidak tahu di manakah tempat perkhemahan dan bagaimanakah hendak kembali kesana. Kami kini terkandas di dalam gua tersebut dan terpaksa menanti sehingga hujan berhenti. Keadaan malam yang kelam juga tidak membantu kami untuk kemana-mana.

Tiba-tiba, aku terdengar ngauman yang kuat sekali. Aku terperanjat dan jadi gementar. Aliff juga kelihatan terkejut. Aku melangkah ke arah mulut gua dan memandang ke semua arah tetapi tidak terlihat sesuatu pun.

Secara mendadak seekor beruang memasuki gua itu. Aku amat terkejut hingga aku terjatuh. Bulu beruang itu kelihatan berkilat akibat basah kuyup oleh hujan yang sangat lebat. Ia kelihatan ganas dan liar. Fikiranku menjadi buntu serta bulu romaku sudah mula berdiri. Aku dapat berasa Aliff menghela nafas berat dan ketakutan. Jantungku berdegup dengan cepat kerana berasa gerun. Aku menggigil kerana ngeri dan gelisah. Kami sudah dapat merasakan bahaya yang berada didepan kami.

Aku berdiri seperti sebuah patung yang tidak bernyawa kerana terlalu takut. Aku tidak dapat memikir sesuatu pun dalam situasi ini. Beruang yang besar dan kelihatan ganas itu menoleh ke semua arah sambil menghidu dan mula berjalan ke arahku.

Secepat kilat beruang itu menerkam diriku. Aku menjerit ketakutan serta kesakitan kerana beruang itu berjaya melukakan kaki kiriku. Darah mengalir dengan deras dari luka di kakiku. Aku sempat mencapai seketul batu lalu melontarkannya ke arah muka beruang itu. Beruang itu mengaum kemarahan. Ia cuba menamparku tetapi aku cepat mengelaknya. “Lari! Haikal, lari!” jerit Aliff. Kami berlari lintang-pukang keluar dari gua tersebut.

Beruang itu pun mengikuti kami. “Mari, lompat!” teriakku. Aku terus melompat ke dalam sebatang sungai, diikuti Aliff. Apabila beruang itu terlihat kami terjun ke dalam air, ia pun meninggalkan kami. Setelah menunggu beberapa minit, kami pun keluar dari sungai tersebut. Baru aku sedar bahawa awan mendung sudah pun berlalu. Hujan lebat sudah pun reda tetapi masih renyai-renyai turun membasahi bumi.


Kami cuba sedaya upaya mencari jalan untuk pulang ke arah tempat perkhemahan. Kami berjalan di tebing sungai dan cuba mengingati arah tempat perkhemahan. Kami berasa lebih selamat berjalan di tepi sungai daripada mereda hutan yang gelap. Selepas berjalan lebih kurang sepuluh minit, tiba-tiba aku terdengar suara orang berbual. Suara itu menjadi lebih jelas apabila kami melangkah lebih dekat. “Haikal! Aliff!” aku terdengar suara-suara memekik. Aku terus berlari ke arah sesuatu. Wajahku berseri-seri kerana sangat gembira apabila aku ternampak satu kumpulan dari perkhemahan yang sedang mencari untuk kami. Aku berasa sangat lega.

Aku pun ternampak kawan baikku, Syakir dan dia memelukku kerana amat girang yang aku telah pulang. Aliff pula sedang bersembang dengan rakan-rakannya yang lain.

Sesat di hutan yang gelap di waktu malam adalah satu pengalaman yang mengerikan. Lebih-lebih lagi apabila diserang oleh seekor beruang yang besar dan ganas. Mujurlah kami dapat melepaskan diri dari beruang tersebut dan seterusnya dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan kami yang lain. Sejak hari itu, aku berjanji yang aku akan lebih berhati-hati dan tidakn leka apabila menyertai perkhemahan yang akan datang.
Komen guru: Satu karangan yang sememangnya seronok dibaca. Frasa2 kreatif telah disulamkan dengan baik sekali. SYABAS! - Cikgu Elmi Zulkarnain

Labels: , , , ,

Monday, July 28, 2008

Peristiwa Kapal Terbang


Sebuah karangan naratif - Aniq Naqib Azman


Kapal terbang yang kami naiki tiba-tiba bergegar. Semua penumpang menjadi cemas. Deruman enjinya tiba-tiba senyap. Beberapa orang penumpang menjerit ketakutan. Seorang penumpang lelaki yang sedang berjalan terjatuh. Aku pun menolongnya ke tempat duduknya.


Aku sedang menaiki kapal terbang Fairchild FH-227 di atas pergunungan Andes.
Tiba-tiba, “Boom!”
Kapal terbang ini terjunam ke sebuah gunung. Juruterbang pun tidak sempat untuk membuat pengumunan. Aku terbangun, tidak sedar tentang persekitaranku. Nadiku berdegup-degup dengan kuat sekali. Badanku terasa angin sejuk bertiup dengan perlahan. Aku bangun untuk mencari ibu dan kakakku. Kawanku, Pedro, datang ke hadapanku, dengan membawa khabar yang kurang baik. Ibu dan kakakku telah menarik nafas yang terakhir.

Aku berasa seolah-seolah bumi telah rebah ke atasku. Tidak berguna lagi untuk aku menyesal kerana nasi sudah menjadi bubur. Aku meletakkan perkara yang lama dan terus maju ke hadapan.


Sudah tiga hari aku dan Pedro tidak diselamatkan. Kami menggunakan salji yang lebur untuk air dan kulit daripada beg kami untuk makanan kerana makanan yang kami boleh cari di kapal terbang itu telah habis. Sudah berapa hari telah lalu tetapi masih tiada orang yand datang untuk menyelamatkan kami.

Kami pun bersetuju untuk memakan badan kawan-kawan kami untuk mendapat protin. Kami pun cuba untuk menajamkan besi-besi yang terdapat di dalam kapal terbang itu untuk menggunakannya sebagai pisau untuk menetak badan-badan tersebut.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi helikopter. Kami tahu bahawa kami akan diselamatkan. Helikopter itu pun membawa kami ke hospital untuk dirawat. Aku bersyukur kerana aku boleh hidup tetapi hatiku seperti dihiris sembilu kerana dua orang yang tersayang telah terkorban.....


Saturday, July 19, 2008

Karangan - Teman Sejati




Teman Sejati









Semenjak ibu bapaku bercerai, hatiku remuk-redam menanggung kekecewaan. Aku terpaksa berpindah rumah dan sekolah. Buat masa ini, aku tinggal bersama ibuku. Kesunyian sering menghimpit diriku tanpa kasih sayang bapaku. Tiada seorang pun memahami perasaanku.

Hari pertama di sekolah baharuku, aku berasa sungguh gementar. Teman-teman sedarjahku menganggap aku tiada di sana. Aku hampir putus asa mencari seorang teman apabila seorang pelajar perempuan menghampiriku. Dia menguntumkan senyuman yang melebar kepadaku.

“Namaku Lisa. Awak?” Lisa berkata sambil tersenyum.

“Namaku…Aqilah…” aku menjawab.

Dia pun membawaku sekeliling sekolah yang luas itu. Dalam perjalanan, Lisa banyak menceritakan kepadaku tentang guru-guru di sekolah itu. Aku pun mendapat tahu yang ibu bapa Lisa telah bercerai. Dia menceritakanku betapa kecewanya dia apabila mereka berpisah. Aku memahami perasaannya kerana aku telah melalui pegalaman perit yang sama.

Setiap hari, kami akan makan bersama-sama. Apabila aku tidak tahu membuat sesuatu, dialah sahabat yang menolongku. Tanpa Lisa, aku kepupusan teman di sekolah itu. Walaubagaimanapun, aku menganggap Lisa sebagai kawan sahaja kerana takut dia tidak akan menerimaku untuk menjadi teman sejatiku.

“Siapa hendak menjadi teman sejatiku? Aku tidak pandai, hodoh dan gemuk…” aku memberitahu diriku.

Pada suatu hari, Lisa tidak hadir sekolah. Guruku memberitahu kelas yang Lisa telah dimasukkan ke hospital kerana tangannya patah akibat terjatuh. Selepas sekolah, aku ke hospital untuk melawat Lisa. Di sana, aku ternampak Lisa terbaring dan tangan kirinya dibalut.

“Buat apa kamu di sini, Qilah? Bukannya kamu ada kelas tambahan?” Lisa bertanya.

“Aku tidak mahu menghadiri kelas itu. Aku sudah meminta izin ibuku untuk memonteng kelas. Lagipun, kamu sakit dan tiada orang mahu menemanimu,” aku menjawab.

Wajahnya yang pucat sekarang kelihatan berseri-seri, menandakan keriangan yang benar-benar dirasai.

“Aku tahu aku telah membuat keputusan yang betul kali ini,” dia kemudian berkata, “teman sejatiku…”

Manik-manik putih menitis di pipiku. Lisa mengesatkan airmataku dan menyuruhku supaya jangan menangis. Aku pun memeluk Lisa.

Semenjak hari itu, Lisa telah menjadi teman sejatiku untuk selama-lamanya. Inilah peristiwa yang membuktikan siapa kawan sejatiku…

Hasil Ciptaan:
Fatin Liyana 6/9

Komen Guru:
Karangan ini agak baik. Saya yakin, dengan menyelitkan frasa-frasa kreatif dan berbunga, karangan-karangan anda akan mendapat markah yang lebih baik lagi. Murid-murid lain juga harus mengutamakan plot ketika mengarang. Karangan yang dirancang dengan baik akan menjadi lebih sempurna. Insyaallah. Syabas Fatin Liyana!

Ikhlas,
Cikgu Elmi Zulkarnain



Sunday, June 01, 2008

Sesat Di Hutan


Sesat Di Hutan


Sebuah karya Fatin Liyana, Firdauz Azhar dan Aniq Naqib

Hutan itu diselimuti misteri. Pelbagai cerita yang didengar mereka. Pelbagai andaian. Aniq, Fatin dan Firdauz bertekad untuk menyelongkar misteri hutan itu. Persiapan telah disediakan dengan teliti. Makanan, minuman, peta dan alat-alat lain yang diperlukan diangkut bersama. Mereka bertolak selepas mentari mula menerbitkan diri.

Mereka mula berjalan. Hutan itu semakin lama semakin tebal rasanya. Pokok-pokok besar tegak dan gagah berdiri, memayungi mereka bertiga dari terik mentari pagi. Setelah lama berjalan, penat mula mencengkam mereka. Mereka berehat di sebuah tempat redup dan nyaman. Aniq terlelap didodoi irama dan nyanyian camar yang berterbangan.

Tanpa disedari Fatin dan Firdauz, mereka berdua telah menyambung perjalanan mereka tanpa Aniq. Tidak teringat langsung mereka terhadap Aniq.

Aniq terbangun. Alangkah terperanjatnya dia apabila dia sedar yang kawan-kawannya telah meninggalkannya sendirian.

“Apa ni .. ? Mereka buta ke? Berkhayal ke? Ada patut mereka tinggalkan aku sebegini? Di hutan setebal ini?” Aniq mula berasa amarah dan kesal menggigit perasaannya.

Aniq mula mencari dan menjejak kawan-kawannya. Sedang dia berjalan, dia tersungkur. Cermin matanya terjatuh. Retak sedikit. Mukanya tersembam ke tanah.

“Buah kurmaak ... !” Aniq pengsan.

Nenek kebayan terjumpa Aniq. Dia membawa Aniq ke pondoknya untuk dirawat. Nenek kebayan itu mempunyai kuasa yang luar biasa. Dalam beberapa saat sahaja, Aniq sudahpun berada di pondoknya.

Aniq diberi rawatan bagi luka-lukanya dan diberi makanan serta minuman.

Nenek kebayan itu tidak berwajah hodoh. Ada juga iras wajah Siti Tanjung Perak. Dia melayan Aniq dengan baik sekali.

“Ini nenek berikan peta untuk anak keluar dari hutan ini. Janganlah datang lagi. Tempat ini tidak sesuai untuk manusia. Lebih-lebih anak muda seperti kamu,” kata nenek kebayan itu dengan suara terketar-ketar tetapi jelas didengar.

Sementara itu, Fatin dan Firdauz mula sedar akan kehilangan Aniq. Mereka kesal dengan kecuaian mereka. Bagaimana mereka boleh terlupa akan Aniq merupakan satu misteri. Mereka mula berpatah balik, menjejak setaip langkah yang diambil. Setelah sejam, mereka terjumpa cermin mata kepunyaan Aniq.

“Pasti Aniq berada dekat dengan kawasan ini,” kata Firdauz bersuara sedih.

Tiba-tiba, Aniq muncul di hadapan mereka. Fatin dan Firdauz terperanjat tetapi terlalu gembira untuk memikirkan apa-apa.

“Aku selamat. Mengapalah zalim sangat kamu berdua tinggalkan diri ini keseorangan?” tanya Aniq.

Fatin dan Firdauz membisu tiada terkata.

Aniq cuba menunjukkan pondok nenek kebayan yang baik hati itu kepada mereka berdua tetapi pondok itu sudah lenyap dari pandangan mata kasar mereka.

Dengan peta yang berada di tangan, Aniq menunjukkan mereka berdua jalan keluar dari hutan itu. Cukuplah pengalaman mereka di hutan buat masa ini. Tanda tanya bertambah. Misteri terus menjadi misteri. Setelah lama berjalan, akhirnya mereka tiba di suatu persimpangan jalan.

Mentari mula membenamkan diri, tanda penamat hari. “Syukur,” kata mereka bertiga menghela nafas lega.

Disemak oleh Cikgu Elmi Zulkarnain
Lungsuri Youtube untuk mendapatkan klip komik digital yang dihasilkan oleh mereka!
Tag: Sesat di Hutan

Sunday, May 25, 2008

Ulasan Novella - Dugaan Hidup


Dugaan Hidup




Pengarang: Azlin Ayub
Penerbit: Zharfan

Ulasan cerita:

Azza ialah seorang mahasiswi di Universiti Teknologi MARA. Untuk peperiksaan akhirnya, Azza telah mandapat markah yang baik. Azza bercadang untuk mencari kerja. Setelah lama mencari, dia mendapat kerja sebagai seorang editor di Galaksi Publication Sbn. Bhd.
Gajinya tidak lumayan, cuma RM 850 sebulan. Majikan Azza, Eric berjanji untuk menaikkan gaji Azza selepas jawatannya disahkan. Sudah tujuh bulan, tetapi gaji Azza cuma dinaikkan RM 100 sahaja. Gajinya itu tidak cukup untuk menampung dirinya dan ibu bapanya di kampung. Azza bercadang untuk meletakkan jawatan. Dia pun mendapat kerja yang gajinya lumayan.
Ketuanya, Puan Valentina ialah seorang ketua yang cerewet, berat sebelah dan suka memilih orang. Azza tidak boleh tahan dengan sikap ketuanya itu dan dia berhenti kerja. Azza hampir–hampir putus asa mencari kerja. Lama-kelamaan, Azza mempelari, gaji yang tinggi tidak menjanjikan kepuasan dalam kejaya.
Ini terbukti selepas Azza memilih sebuah pekerjaan sebagai seorang kerani yang berjawatan rendah. Dengan minat dan usahanya, akhirnya Azza dinaikkan pangkat sebagai seorang PR syarikat.

Hasil Ulasan:
Fatin Liyana 6/9

Ulasan Novella: Insaf



Insaf



Pengarang: Azlin Ayub
Penerbit: Zharfan

Ulasan cerita:

Encik Mansur dan Puan Kamalia, suami isteri, adalah orang yang berkerjaya. Mereka berdua terlalu sibuk dengan kerja hingga anak-anak mereka, Irfan dan Haris, telah dijaga oleh seorang pengasuh bernama Siti. Suatu hari, Siti memberitahu majikannya bahawa dia akan melanjutkan pelajarannya di universiti. Haris dan Irfan yang amat rapat dengan Siti, berasa sedih untuk berpisah dengannya.
turut berasa sedih kerana selama Siti bekerja, dia membuatnya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Setelah satu minggu, Encik Mansur dan Puan Kamaliah telah mendapatkan seorang pengasuh bernama Diana untuk menggantikan tempat Siti. Majikan Diana tidak tahu bahawa pengasuh yang digantikan itu gaji buta dan selalu bergantung pada telefon.
Suatu hari seperti biasa, Encik Mansur dan Puan Kamalia pergi ke kerja meninggalkan anak-anak mereka dengan pengasuh yang gaji buta itu. Diana terus ke arah telefon bimbit untuk berbual-bual dengan kawannya sementara Irfan dan Haris sedang berenang di kolam tanpa pengawasan. Diana berharapkan Irfan yang berumur enam tahun itu untuk menjaga Haris yang berumur tiga tahun. Tiba-tiba, Diana diberitahu Haris telah lemas.
Diana tergesa-gesa mengambil Haris dan letaknya di lantai. Dia rasa bersalah dan membuat keputusan untuk lari dari rumah majikannya. Kebetulan, Encik Mansur beru sahaja pulang dari kerja. Apabila dia ternampak apa yang telah terjadi, dia menelefon polis untuk disiasat manakala Haris dibawa ke hospital. Haris meninggal dunia dalam perjalan ke hospital.
Ibu bapanya berasa kesal kerana tidak bertanggungjawab. Semenjak hari itu, mereka insaf.

Hasil Ulasan:
Siti Nadhirah 6/6

Friday, April 18, 2008

Puisi: Mencari Teman|




Hatiku pilu mengapa entah
Fikiranku buntu tidak tahu kenapa
Mungkin penat mencari teman
Yang sudah hilang

Berjalan di dalam hujan
Berjalan di dalam panas
Kerana hendak mencari teman

Kiri kanan disepit tekanan
Depan belakang dipenuh masalah
Bagai ikan lemas di daratan
Bilakah aku akan berjumpa dia?

Hatiku pilu mengapa entah
Fikiranku buntu tidak tahu kenapa
Mungkin penat mencari teman
Tetapi tidak perasan, dia di depan.

Aniq Naqib
6/3
St.Hildas Primary School

Pantun: Tidak Mudah Mencari Kawan|


Tidak Mudah mencari kawan

Burung helang terbang di awan
Hinggap turun ke atas dahan
Berhati-hati mencari kawan
Agar dapat memberi panduan

Kawanlah yang jujur
Jangan sekali memilih hantu judi
Hanya yang baik akan subur
Hutang budi,dibawa mati.

Janganlah memilih mengikut perasaan
Kawan baik mestilah berjasa
Janganlah menyakiti perasaan kawan
Perasaan sakit akan terasa

Tidak mudah hendak memilih kawan
Usahalah kamu apabila mencari
Bagai burung helang terbang di awan
Dan akhirnya jumpa yang dikehendaki.

Muhd Firdauz 6/3
St.Hildas Primary School

Puisi - Teman


Teman

Teman…
Kehadiranmu menyinari kehidupanku
Tanpamu aku akan berasa pilu dan keseorangan
Untuk mengharungi kehidupan dunia yang banyak dugaan ini.

Teman…
Sekarang aku tahu aku tidak keseorangan
Kerana kau selalu berada di sisiku
Untuk memberi semangat kepadaku.

Teman…
Kau selalu di sampingku
Memberi kata-kata peransang demi
Menguatkan semangat menghadapi dugaan
Denganmu di sisi, tiada masalah yang tidak dapatku selesaikan

Aku bangga dan bertuah mendapat teman sepertimu
Terima kasih atas teguranmu,
Nasihatmu serta doronganmu
Terima kasih teman kesayanganku

Hasil ciptaan:
Fatin Liyana 6/9

Friday, April 11, 2008

Ibu - satu dalam seribu


-Ibu-





Ibu… Kau telah mengorbankan jiwa ragamu untuk membesarkan aku dan abang-abangku. Engkaulah satu dalam seribu. Tetapi, aku berasa perit mula menyelinap ke dadaku memikirkan tentang kesilapanku terhadapmu. Ada sekelumit rasa bersalah yang menghantui diriku. Diriku juga dihimpit penyesalan.

Hidupku bagaikan siang diselubung gerhana memikirkan tentang rasa peritmu apabila aku dan abang-abangku membuat kesilapan terhadapmu. Aku tidak sekali ingin nadimu manafikan nyawamu kerana kesilapan aku dan abang-abangku. Syurga terletak di telapak kakimu. Sebab itulah kami harus saling sayang – menyanyangi dan menghormatimu.

Ibu…

Wajahmu yang mempesona tiada lagi tandingan, ayu jelita dan cantik berseri menyinarkan cahaya. Halus tutur bahasamu sungguh mulia, rambut panjangmu terurai bagaikan sutera. Bibir merah delima dan alun suramu. Pipimu pauh dilayang dengan alis matamu yang lentik. Wajahmu terlekat selalu di kotak fikiranku. Jauh angan aku lena memikirkanmu. Ibu, engkau bagai seorang dewi menjelma di hati dan hidupku. Ibu, engkau adalah hidupku…


Hasil Ciptaan:
Dina Amalina 6/5